Langkah pertama dalam haemodialisis ialah menjalani pembedahan yang agak ringkas untuk mewujudkan akses kepada saluran darah anda.

our-services---HD.jpg

Prosedur ini biasanya hanya perlu dilakukan sekali sahaja kerana akses tersebut akan digunakan secara berterusan untuk rawatan anda, dan lazimnya dilakukan beberapa minggu sebelum sesi dialisis pertama anda. Akses ini boleh diwujudkan melalui tiga cara: fistula, iaitu sambungan terus antara arteri dan vena bagi menghasilkan saluran darah yang kuat untuk menahan kemasukan dan pengeluaran jarum secara berkala; graft, iaitu sambungan yang dibuat secara tidak langsung menggunakan tiub plastik; atau kateter berbentuk Y, di mana tiub plastik dimasukkan terus ke dalam vena yang lebih besar. Jika anda mempunyai fistula atau graft, pada permulaan setiap rawatan HD, dua jarum akan dimasukkan ke dalam akses vaskular tersebut — satu untuk membolehkan darah mengalir ke mesin dialisis, dan satu lagi untuk mengalirkan darah kembali ke dalam badan anda dari mesin tersebut.

Tiub plastik steril (bloodlines) membawa darah anda ke mesin dialisis. Bahagian utama mesin ini ialah dialyser, yang terdiri daripada beberapa membran separa telap nipis yang bertindak sebagai penghalang antara darah anda dan cecair dialisis. Membran ini membolehkan bahan bergerak keluar masuk daripada darah anda, dan melalui proses ini bahan buangan serta lebihan air disingkirkan daripada badan anda, selain ubat-ubatan tertentu juga boleh diberikan. Litar dialisis membawa darah pada kadar 200–300 ml/min, dengan kadar aliran melebihi 350 ml/min. Satu sesi dialisis lengkap biasanya mengambil masa 4–5 jam dan dilakukan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu.

our-services---HD2.jpg

Anda digalakkan untuk berehat sepanjang rawatan dialisis, sama ada dengan membaca, tidur, bekerja, menonton televisyen dan sebagainya. Jururawat akan memantau keadaan anda dengan teliti sepanjang sesi dialisis dan memastikan mesin berfungsi dengan baik.

Dialisis sepatutnya tidak menyakitkan, namun adalah perkara biasa untuk berasa letih selepas rawatan. Kesan sampingan ini boleh dikurangkan dengan mengamalkan pemakanan yang sesuai dan melakukan senaman secara berkala. Anda juga mungkin berasa loya, pening atau mengalami kekejangan otot semasa dialisis, dan anda sentiasa digalakkan untuk mendapatkan bantuan daripada pasukan klinikal kami.

Haemodialisis di Rumah

Di sesetengah negara, Diaverum menawarkan rawatan haemodialisis yang boleh dilakukan di rumah. Kami akan menyediakan mesin dialisis khas yang merawat bekalan air di rumah anda supaya sesuai digunakan untuk dialisis, dan semua bekalan yang diperlukan akan dihantar ke rumah anda sekali atau dua kali sebulan. Anda akan diajar cara menggunakan mesin tersebut melalui beberapa sesi latihan di klinik, biasanya selama 8–12 minggu. Anda juga digalakkkan untuk membawa ahli keluarga atau penjaga ke sesi latihan ini supaya mereka dapat membantu anda di rumah.

Semasa latihan, anda akan mempelajari cara untuk:

  • menyediakan peralatan dan bekalan dialisis
  • memasukkan jarum ke dalam akses vaskular (fistula atau graft)
  • memberikan ubat yang diperlukan
  • memantau mesin
  • memeriksa tekanan darah dan denyutan nadi
  • menyimpan rekod rawatan
  • membersihkan peralatan dan ruang rawatan
  • membuat pesanan bekalan dialisis

Kelebihan Haemodialisis di Rumah

Haemodialisis di rumah boleh menjadikan kehidupan anda lebih fleksibel kerana anda boleh menetapkan jadual rawatan sendiri mengikut kesesuaian aktiviti harian anda, seperti bekerja atau menjaga ahli keluarga. Anda juga boleh memilih untuk menjalani dialisis dengan lebih kerap berbanding jika anda perlu datang ke klinik, yang mungkin memberi manfaat seperti:

  • anda berasa lebih sihat dan mempunyai kawalan tekanan darah yang lebih baik
  • kurang sekatan terhadap pemakanan dan pengambilan cecair
  • menjimatkan masa perjalanan ke dan dari klinik — biasanya anda hanya perlu hadir untuk pemeriksaan sebulan sekali

Kekurangan Haemodialisis di Rumah

  • anda memerlukan ruang untuk menempatkan mesin dialisis
  • anda memerlukan ruang tambahan untuk penyimpanan bekalan dan peralatan rawatan

Haemodialisis Penjagaan Kendiri atau Penjagaan Bersama

Selain menjalani hemodialisis di klinik atau di rumah, Diaverum turut menyokong pesakit yang mahukan pendekatan pertengahan melalui program penjagaan kendiri (self-care) atau penjagaan bersama (shared-care) .

Melalui program ini, anda boleh mempelajari dan melaksanakan sebahagian daripada proses rawatan dialisis sendiri di klinik dengan bimbingan kakitangan yang terlatih. Pelan latihan akan disediakan mengikut tahap keselesaan dan kemampuan anda, dan kemajuan akan dinilai secara berkala.

Antara kemahiran yang boleh dipelajari ialah:

  • menyediakan peralatan dan bekalan dialisis
  • memasukkan jarum ke dalam akses vaskular
  • memberikan ubat-ubatan
  • memantau mesin dialisis
  • memeriksa tekanan darah dan denyutan nadi
  • menyimpan rekod rawatan

Kelebihan Dialisis Penjagaan Kendiri atau Penjagaan Bersama

  • memberikan lebih kawalan terhadap rawatan sendiri
  • meningkatkan pemahaman serta pengurusan CKD dengan lebih baik
  • memberikan fleksibiliti dalam jadual dialisis dan penjimatan masa