Apakah fungsi buah pinggang anda?
Buah pinggang anda sangat penting untuk kelangsungan hidup anda. Fungsi utamanya adalah menapis bahan buangan daripada darah anda dan mengimbangi paras garam, mineral dan air, yang seterusnya membantu mengawal tekanan darah anda. Ia juga terlibat dalam mengaktifkan vitamin D ke bentuk yang boleh digunakan oleh badan anda untuk menyerap kalsium daripada makanan, seterusnya memastikan tulang anda kuat, serta dalam penghasilan sel darah merah.
Di manakah kedudukan buah pinggang anda?
Buah pinggang terletak di kedua-dua belah tulang belakang, di bawah sangkar rusuk dan di belakang bahagian abdomen (perut). Jika anda meletakkan tangan pada pinggul dan menggerakkannya ke atas sehingga jari menyentuh tulang rusuk, buah pinggang berada di bahagian belakang badan, di bawah ibu jari anda. Anda tidak dapat merasai buah pinggang kerana ia terletak jauh di dalam badan. Kebanyakan orang mempunyai dua buah pinggang, namun seseorang masih boleh menjalani kehidupan normal dengan hanya satu buah pinggang. Oleh sebab itu, seseorang boleh mendermakan satu buah pinggang untuk pemindahan kepada individu lain. Buah pinggang berbentuk seperti kacang dan saiznya lebih kurang sebesar penumbuk tangan.
Bagaimanakah buah pinggang anda berfungsi?
Bergantung kepada berat badan anda, terdapat kira-kira 4.5 hingga 6.5 liter darah yang sentiasa beredar di seluruh badan. Setelah badan menyerap nutrien yang diperlukan daripada makanan dan minuman, bahan buangan akan kembali ke dalam aliran darah. Arteri renal membawa darah ini ke buah pinggang untuk ditapis melalui kira-kira satu juta unit penapisan mikroskopik yang dikenali sebagai nefron. Darah yang telah ditapis kemudian keluar dari buah pinggang melalui vena renal, manakala bahan buangan dan lebihan cecair yang telah disingkirkan akan mengalir melalui ureter sebagai air kencing. Air kencing ini disimpan di dalam pundi kencing sebelum dikeluarkan melalui uretra.
Kira-kira 1,500 liter darah melalui buah pinggang setiap hari. Kebanyakan penyakit buah pinggang berlaku apabila nefron kehilangan keupayaannya untuk menapis darah dengan berkesan, menyebabkan cecair dan bahan buangan terkumpul dalam badan sehingga mencapai tahap yang boleh membahayakan kesihatan.
