Kehidupan harian dan kebimbangan yang lazim dihadapi.

Anda tidak boleh mengubah diagnosis yang telah diberikan, namun terdapat banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk menyesuaikan diri dengan rawatan dan menjalani kehidupan sebaik mungkin seperti biasa.

Sepanjang perjalanan ini, anda mungkin mendapati bahawa berbincang tentang perasaan, kebimbangan atau ketidakpastian yang dialami dapat membantu. Pasukan penjagaan kesihatan di Diaverum boleh memainkan peranan penting dalam membantu anda menyesuaikan diri dengan rawatan dialisis serta merancang pemindahan buah pinggang jika sesuai.

Matlamat rawatan adalah untuk membantu anda menjalani kehidupan senormal mungkin. Dialisis perlu dilihat sebagai satu keperluan dalam kehidupan, tetapi tidak seharusnya menguasai kehidupan anda. Namun begitu, perubahan yang berlaku akibat CKD sememangnya boleh menjadi sukar untuk diterima dan dihadapi. Anda juga mungkin berasa sukar untuk meluahkan perasaan. Jangan pendamkan segala kebimbangan seorang diri.

Kakitangan klinik kami mempunyai pengalaman luas dalam membantu pesakit yang menghadapi pelbagai situasi berkaitan CKD dan dialisis. Kongsikan kebimbangan anda dengan ahli pasukan penjagaan kesihatan di klinik. Dengan maklumat dan pemahaman yang lebih baik, keadaan biasanya akan menjadi lebih mudah untuk diuruskan. Dalam sesetengah keadaan, perubahan kecil pada rawatan juga boleh membantu meningkatkan pengalaman dan kualiti hidup anda.

pic 2.jpg

Masalah lazim yang dialami oleh pesakit dialisis

Kebimbangan (Anxiety): Kebimbangan boleh memberi kesan yang besar kepada kehidupan harian. Anda mungkin berasa bimbang untuk datang menjalani dialisis, tidak pasti tentang masa depan atau merasakan bahawa anda kehilangan kawalan terhadap kehidupan. Gejala fizikal seperti degupan jantung yang laju semasa rawatan dialisis juga boleh berlaku.

Kesukaran tidur: Masalah tidur boleh berlaku atas pelbagai sebab, yang paling lazim ialah kebimbangan. Ia juga boleh berpunca daripada tabiat tidur yang kurang baik atau gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang bersenam.

Kemurungan (Depression): Kemurungan boleh berlaku pada tahap yang berbeza dan memberi kesan kepada pelbagai aspek kehidupan. Gejalanya termasuk perasaan sedih yang berpanjangan, hilang minat terhadap aktiviti harian, perubahan corak tidur dan selera makan, kesukaran menumpukan perhatian serta keletihan.

Masalah berkaitan hubungan seksual: Ramai pesakit dialisis mengalami penurunan keinginan seksual. Ini boleh berlaku sebagai kesan sampingan fizikal kegagalan buah pinggang atau mungkin dikaitkan dengan perubahan imej tubuh anda, kemurungan dan kebimbangan.

Jangan teragak-agak untuk berbincang dengan kami tentang isu-isu seperti ini atau masalah lain yang mungkin anda alami - kami sentiasa mahu membantu anda. Sebagai langkah pertama untuk membantu mengoptimumkan kesihatan anda semasa dialisis, kami menawarkan nasihat di bawah tentang: pengurusan pemakanan, pengambilan cecair, ubat-ubatan, menjalani kehidupan yang aktif serta berbincang dan mencari sokongan daripada keluarga, rakan dan komuniti.

Mengurus pemakanan anda

Tiada satu diet khusus yang terbaik untuk semua pesakit CKD pada setiap masa, dan kami menggalakkan anda untuk meminta nasihat daripada pasukan klinik anda. Anda mungkin berasa letih dan mengalami kurang selera makan, namun adalah penting untuk terus mengambil hidangan yang seimbang dan mengamalkan diet sihat secara umum. Terdapat juga beberapa nasihat khusus mengenai jenis makanan tertentu:

pic 1.jpg

Protein membantu anda mengekalkan otot dan membaiki tisu. Adalah penting untuk makan protein berkualiti tinggi seperti yang terdapat dalam daging, ikan, ayam, itik dan telur. Pemakanan yang baik akan membantu anda kekal sihat secara umum dan melawan jangkitan.

Fosforus adalah mineral yang terdapat dalam banyak makanan, dan semasa menjalani dialisis anda perlu berhati-hati supaya tidak mengambilnya secara berlebihan. Makanan seperti susu dan keju, kacang kering, biji bunga matahari, biji rami (flaxseed), minuman berkarbonat, kekacang dan mentega kacang mengandungi banyak fosforus. Jika paras fosforus dalam darah anda menjadi terlalu tinggi, ini boleh menyebabkan kalsium terkumpul di dalam tisu dan organ anda, satu proses yang dipanggil kalsifikasi. (Calcification) Fosforus boleh menyebabkan kulit anda gatal dan boleh menjejaskan saluran darah anda.

Sesetengah pesakit dialisis perlu mengambil ubat yang dipanggil pengikat fosfat (phosphate binder) untuk menghalang fosfat daripada makanan masuk ke dalam darah mereka.

Kalium (Potassium) adalah mineral yang terdapat dalam hampir semua makanan, terutamanya sesetengah buah-buahan dan sayur-sayuran. Buah pinggang yang sihat mengekalkan jumlah kalium yang tepat di dalam darah, tetapi ini mungkin tidak berlaku kepada penghidap CKD: paras kalium darah boleh berbeza-beza, dan mungkin meningkat di antara sesi dialisis. Paras kalium yang tinggi boleh menjejaskan denyutan jantung anda dan adalah sangat penting untuk mengikuti nasihat yang diberikan kepada anda tentang cara terbaik untuk mengawal pengambilan kalium anda. Makanan yang mengandungi banyak kalium termasuk aprikot, pisang, buah-buahan kering, jus buah-buahan, tembikai, kekacang, jus prun, kismis, jus dan sos tomato, articok, avokado, kacang kering, jus lobak merah, kentang bakar, coklat, madu, susu, cip kentang, kacang dal (lentils) dan bayam.

Natrium (Garam) terdapat secara semula jadi dalam kebanyakan makanan dan juga digunakan untuk menambah perisa. Terlalu banyak garam dalam diet anda boleh membuatkan anda berasa haus dan membawa kepada pengumpulan cecair. Oleh itu, adalah penting untuk sentiasa memantau jumlah garam yang anda makan dengan teliti.

Mengurus pengambilan cecair

Jika anda menjalani dialisis, adalah sangat penting untuk mengawal jumlah pengambilan cecair anda, terutamanya jika anda tidak lagi menghasilkan air kencing. Pesakit hemodialisis biasanya perlu menguruskan pengambilan cecair mereka dengan lebih teliti berbanding pesakit yang menjalani dialisis peritoneal.
Kawal rasa haus/dahaga anda.

Cara terbaik untuk mengurangkan pengambilan cecair adalah dengan mengurangkan rasa haus anda, dan anda boleh melakukannya sebahagiannya dengan mengawal jumlah garam yang anda makan dalam diet anda. Pesakit dialisis harus mensasarkan untuk makan kira-kira separuh daripada jumlah garam yang diambil oleh orang lain.

Kebanyakan makanan dalam tin dan hidangan sedia dimakan atau sejuk beku mengandungi jumlah garam yang banyak, begitu juga dengan kerepek. Cuba elakkan makanan ini, atau pilih produk rendah natrium (garam), dan jangan tambah garam ke dalam makanan semasa memasak atau ketika makan.

 

Kawal pengambilan cecair anda

Sebarang makanan yang bersifat cecair pada suhu bilik mengandungi air, dan makan apa-apa jenis makanan seperti ini akan menambah pengambilan cecair anda. Makanan tersebut termasuklah sup, susu, yogurt, agar-agar dan aiskrim. Banyak buah-buahan dan sayur-sayuran juga mengandungi banyak air, terutamanya tembikai susu, tembikai, anggur, epal, oren, tomato, salad (lettuce) dan saderi. Selain mengehadkan jumlah makanan ini yang anda makan, anda juga boleh memastikan tahap pengambilan cecair anda rendah dengan minum menggunakan cawan atau gelas yang lebih kecil.

Menguruskan tahap cecair anda semasa menjalani hemodialisis

Cecair boleh terkumpul di dalam badan anda di antara sesi hemodialisis, menyebabkan bengkak dan kenaikan berat badan. Cecair berlebihan ini menjejaskan tekanan darah anda dan boleh menyebabkan jantung anda bekerja lebih keras. Anda harus mensasarkan kenaikan berat badan maksimum sebanyak 4% daripada "berat kering" yang ditetapkan (lihat perenggan seterusnya) di antara waktu rawatan.

Berat kering anda adalah berat badan anda tanpa cecair berlebihan. Ia selalunya merupakan berat paling rendah yang boleh diterima tanpa menyebabkan tekanan darah rendah. Preskripsi dialisis anda akan menentukan jumlah cecair yang perlu dikeluarkan semasa rawatan untuk mengembalikan anggaran berat kering anda. Biasanya, berat kering yang ditetapkan adalah sedikit lebih rendah daripada berat orang sihat tanpa cecair berlebihan.

Jika terlalu banyak cecair terkumpul di antara sesi (kerana anda terlalu banyak minum atau makan terlalu banyak makanan dengan kandungan air yang tinggi), adalah lebih sukar untuk sesi dialisis membolehkan anda mencapai berat kering yang ditetapkan. Ini meningkatkan risiko kesan sampingan dialisis, seperti tekanan darah rendah atau kekejangan otot (cramp). Berat kering anda mungkin berubah dari semasa ke semasa jika berat badan tanpa lemak (lean body weight) anda berubah.

Menguruskan tahap cecair anda semasa menjalani dialisis peritoneal

Pengambilan cecair bagi mereka yang menjalani dialisis peritoneal tidaklah begitu terhad berbanding pesakit hemodialisis, namun adalah tetap penting untuk memerhatikan sebarang tanda pengumpulan cecair seperti bengkak atau kenaikan berat badan.

Menguruskan ubat-ubatan anda

Kebanyakan ubat yang anda perlukan apabila mula menjalani dialisis adalah sama dengan ubat yang telah anda ambil sebelum memulakan rawatan. Sesetengah ubat perlu diselaraskan, dan pengawasan perubatan akan diperlukan. Ubat-ubatan yang paling biasa diambil oleh pesakit dialisis adalah:

ESAs (Agen Perangsang Eritropoiesis)

Buah pinggang anda adalah sumber utama hormon yang dipanggil eritropoietin (EPO), yang merangsang penghasilan sel darah merah. Dalam CKD, tahap hormon ini mungkin berkurangan dan ini boleh menyebabkan penghasilan sel darah merah yang rendah, yang membawa kepada anemia. Agen perangsang eritropoiesis (ESA), yang merangsang penghasilan sel darah merah, boleh diberikan secara intravena.

Zat Besi (Iron)

Zat besi diperlukan untuk penghasilan sel darah merah dan hemoglobin, yang membawa oksigen ke seluruh badan anda. Anda mungkin memerlukan suplemen zat besi, yang akan diberikan secara intravena.

Vitamin D

Vitamin D diaktifkan sebahagiannya oleh buah pinggang, dan penghasilannya boleh berkurangan dalam CKD. Anda memerlukan vitamin D untuk membantu anda menyerap kalsium daripada diet anda dan untuk tulang yang sihat. Kekurangan vitamin D yang aktif boleh menyebabkan penyakit tulang yang ditandai dengan kesakitan dan kelemahan tulang. Vitamin D yang aktif boleh diberikan secara oral atau intravena.

Pengikat fosfat (Phosphate binders)

Fosfat berasal daripada makanan dan biasanya disingkirkan oleh buah pinggang anda. Dalam CKD, fosfat mungkin terkumpul di dalam badan kerana buah pinggang anda tidak dapat menyingkirkannya seperti biasa. Terlalu banyak fosfat boleh membentuk mendapan bertulang dalam tisu anda dan menyebabkan kalsium terkumpul dalam saluran darah anda. Pengikat fosfat yang diambil dengan setiap hidangan mengurangkan penyerapan fosfat dalam usus dan mengurangkan jumlah fosfat dalam darah anda.

Ubat untuk mengawal tekanan darah

Memandangkan buah pinggang anda terlibat dalam mengawal tekanan darah, pesakit CKD sering memerlukan ubat untuk mengawalnya. Tekanan darah tinggi adalah faktor risiko penyakit jantung dan memerlukan kawalan rapi. Berita baiknya adalah sebaik sahaja dialisis bermula, ubat-ubatan ini mungkin tidak lagi diperlukan dalam dos yang digunakan sebelum ini atau mungkin tidak diperlukan langsung.

Pencair darah (antikoagulan)

Jika anda menjalani hemodialisis, pencair darah akan diberikan pada permulaan dan semasa setiap rawatan untuk mengelakkan pembekuan darah dalam tiub dan dialisis (penapis).

Ubat-ubatan lain

Individu yang menjalani dialisis mungkin mempunyai keadaan selain daripada CKD yang memerlukan ubat-ubatan. Ini termasuklah untuk penyakit jantung, untuk diabetes mellitus, untuk hiperlipidemia (paras lipid yang tidak normal, terutamanya kolesterol), untuk kemurungan, untuk disfungsi seksual atau untuk kesakitan.
 


Menjalani kehidupan yang aktif

Seperti kebanyakan keadaan kesihatan yang lain, mengekalkan minda yang positif boleh memberikan perbezaan yang amat besar kepada apa yang anda rasakan, serta membantu anda mengekalkan kualiti hidup yang baik. Pasukan klinikal anda di Diaverum akan melakukan segala yang termampu untuk membantu anda menikmati kehidupan mengikut tahap keupayaan terbaik anda.

 

Teruskan bekerja atau belajar

Memulakan dialisis tidak bermakna anda perlu berhenti bekerja melainkan anda mempunyai pekerjaan yang sangat berat, dan anda akan dapat meneruskan pengajian di sekolah atau kolej. Meneruskan aktiviti-aktiviti ini akan menjadi gangguan positif yang baik; kebanyakan majikan memahami serta membantu dan akan membuat sebarang pelarasan yang diperlukan supaya anda boleh terus bekerja.

Kekal cergas

Anda harus sentiasa meminta nasihat doktor sebelum memilih jenis aktiviti fizikal yang khusus, tetapi peraturan umumnya adalah untuk melakukan seberapa banyak senaman yang anda mampu lakukan dengan selesa. Ini meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan anda.

Teruskan memandu

Kebanyakan pesakit dialisis boleh terus memandu, tetapi anda harus berbincang dengan doktor anda. Dalam tempoh dua bulan pertama hemodialisis, anda dinasihatkan supaya tidak memandu sejurus selepas rawatan anda. Jika anda memandu sebagai kerjaya, contohnya sebagai pemandu lori, teksi, kereta api atau bas, anda harus berbincang dengan doktor anda sama ada anda boleh meneruskannya seperti biasa.

Jangan merokok

Merokok adalah berbahaya bagi semua orang, dan ia merupakan risiko kesihatan tambahan yang mesti anda cuba elakkan jika anda menjalani dialisis. Jika anda sedang mempertimbangkan untuk pemindahan buah pinggang, adalah lebih penting untuk tidak merokok kerana ia merosakkan saluran darah anda dan boleh menjejaskan kejayaan buah pinggang yang dipindahkan.

Sedikit alkohol…

…adalah dibenarkan, asalkan ia diselaraskan dengan jumlah had cecair dan diet anda. Mintalah nasihat daripada pasukan klinikal anda.

Bercuti

Setiap orang sepatutnya dapat menikmati percutian, dan kami membantu merealisasikannya untuk anda. Berbincanglah dengan pasukan klinikal Diaverum, untuk mendapatkan nasihat tentang cara terbaik mengatur percutian anda. Mereka boleh mencadangkan lokasi yang sesuai dan cara menguruskan dialisis anda semasa anda berada di luar negara atau jauh dari rumah. Dengan lebih daripada 400 klinik Diaverum di seluruh dunia, program d.HOLIDAY kami membantu anda melancong dengan tenang kerana mengetahui bahawa anda akan menerima penjagaan buah pinggang yang pakar walaupun semasa anda jauh dari rumah.

Berbincang dengan orang lain mengenai keadaan anda

Setiap orang memberi reaksi yang berbeza terhadap keadaan mereka, sama ada dari segi fizikal mahupun emosi. Anda mungkin berasa cemas, tertekan, marah atau kecewa dengan apa yang telah berlaku kepada anda serta rawatan yang perlu anda jalani. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mencari seseorang yang anda boleh berbincang dan berkongsi perasaan.

Pasukan klinik

Doktor dan pasukan klinikal Diaverum sentiasa bersedia untuk membantu anda. Tanyalah soalan dan bincangkan perasaan serta masalah yang anda hadapi dengan mereka. Kongsikan kebimbangan anda. Kadangkala, hanya dengan mendapatkan sedikit maklumat tambahan, keadaan boleh menjadi lebih jelas dan lebih mudah untuk dihadapi. Anda juga mungkin mendapati bahawa bercakap dengan pesakit dialisis lain dapat membantu kerana mereka mempunyai pengalaman secara langsung tentang apa yang sedang anda lalui. Jangan pendamkan perasaan anda—terdapat ramai orang di sekeliling anda yang sedia mendengar dan membantu. Dengan melibatkan mereka, anda akan mula membina sokongan yang anda perlukan untuk diri sendiri.

Bersikap terbuka mengenai keadaan anda

Ada kalanya anda mungkin berasa sukar untuk bercakap tentang apa yang sedang anda lalui, walaupun dengan orang yang paling rapat dengan anda. Namun, teruskan mencuba. Ia boleh membantu jika anda menggalakkan ahli keluarga atau rakan rapat untuk mengetahui lebih lanjut tentang CKD dan rawatan anda supaya mereka lebih mudah memahami dan berbincang dengan anda mengenai keadaan anda. Semua pihak akan mendapat manfaat daripada perkara ini, kerana bukan hanya pesakit yang merasai kesan CKD. Bersikap terbuka dengan keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan rakan sekerja boleh membantu memudahkan keadaan untuk semua. Pengetahuan, pemahaman dan sokongan adalah elemen penting yang dapat membantu anda menjalani kehidupan sebaik mungkin dalam situasi ini.