Mengapa buah pinggang gagal berfungsi, dan apakah kesannya?

Terdapat pelbagai sebab yang boleh menyebabkan fungsi buah pinggang merosot. Dua punca yang paling biasa ialah diabetes dan tekanan darah tinggi, seperti yang diterangkan di bawah.

Kegagalan buah pinggang berlaku apabila fungsi buah pinggang menurun kepada 15% atau kurang daripada tahap normal. Apabila ini berlaku, pengeluaran air kencing akan berkurangan atau terhenti, dan bahan buangan tidak lagi dapat disingkirkan dengan berkesan daripada badan. Akibatnya, bahan buangan dan lebihan cecair akan terkumpul dalam aliran darah (uremia). Anda mungkin mengalami bengkak pada tangan dan kaki (edema) serta sesak nafas. Tekanan darah juga boleh meningkat dan badan mungkin tidak menghasilkan sel darah merah yang mencukupi. Anda mungkin berasa letih, tidak sihat dan hilang selera makan.

Jika buah pinggang gagal berfungsi, rawatan adalah sangat penting sama ada melalui dialisis atau pemindahan buah pinggang. Tanpa diagnosis dan rawatan yang sesuai, penyakit buah pinggang boleh menyebabkan sawan, koma (kehilangan kesedaran) dan akhirnya membawa kepada kematian.Diabetes

Terdapat dua jenis utama diabetes yang mempunyai punca berbeza, namun kedua-duanya boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang. Bagi diabetes jenis 1, badan tidak menghasilkan insulin yang mencukupi untuk mengawal paras gula dalam darah. Untuk diabetes jenis 2 pula, insulin yang dihasilkan tidak dapat digunakan dengan berkesan oleh badan. Apabila diabetes tidak dikawal dengan baik, gula akan terkumpul dalam darah dan merosakkan saluran darah halus di dalam buah pinggang, sekali gus mengurangkan keupayaannya untuk berfungsi dengan baik. Ramai pesakit diabetes juga mengalami tekanan darah tinggi, yang turut boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang. Walaupun rawatan diabetes semakin baik, ramai pesakit masih berisiko mengalami kerosakan buah pinggang.

Tekanan darah tinggi / hipertensi

Tekanan darah tinggi berlaku apabila tekanan darah terhadap dinding saluran darah meningkat melebihi paras normal. Keadaan ini boleh merosakkan saluran darah kecil di dalam buah pinggang dan menghalangnya daripada menapis darah dengan baik. Punca tekanan darah tinggi tidak selalu diketahui, namun ia sering dikaitkan dengan masalah kesihatan lain, pemakanan yang kurang sihat atau gaya hidup tidak sihat seperti kurang bersenam dan berat badan berlebihan.

Keradangan buah pinggang (glomerulonefritis)

Penyakit buah pinggang boleh berlaku apabila unit penapisan buah pinggang yang dikenali sebagai nefron mengalami keradangan. Keadaan ini boleh menyebabkan pengeluaran air kencing berkurangan. Darah dan protein juga boleh bocor ke dalam air kencing, dan anda mungkin mengalami bengkak pada tangan serta kaki.

Sebab-sebab lain kegagalan buah pinggang

Penyakit buah pinggang polycystic ialah penyakit keturunan yang menyebabkan pembentukan cyst besar di dalam buah pinggang sehingga menjejaskan fungsinya. Selain itu, sebarang keadaan yang menghalang aliran air kencing keluar dari badan boleh menyebabkan air kencing mengalir semula ke buah pinggang dan merosakkannya. Halangan ini boleh berlaku akibat penyempitan uretra yang sering berlaku sejak lahir, batu karang, tumor, pembesaran kelenjar prostat dalam kalangan lelaki. Jangkitan saluran kencing yang berulang juga boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang.

Punca yang tidak diketahui

Kira-kira 20% daripada pesakit yang memerlukan dialisis tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kegagalan buah pinggang mereka. Dalam kebanyakan kes, pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit telah berada pada tahap yang serius, dan menyebabkan punca asal penyakit sukar ditentukan.

Rawatan Kegagalan Buah Pinggang

Rawatan yang paling biasa ditawarkan kepada pesakit Diaverum ialah dialisis. Bagi membantu mengurangkan kebimbangan yang mungkin anda alami tentang rawatan yang mengekalkan kelangsungan hidup ini, kami membantu anda melakukan persediaan lebih awal bagi memastikan anda bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi.

Pasukan perubatan anda akan menerangkan pelbagai jenis dan pilihan rawatan dialisis yang tersedia serta membantu anda membuat keputusan yang paling sesuai berdasarkan keadaan kesihatan dan keperluan peribadi anda. Adalah menjadi perkara biasa untuk pesakit membuat persediaan bagi rawatan dialisis dan pemindahan buah pinggang pada masa yang sama, sekiranya pemindahan buah pinggang menjadi pilihan rawatan pada masa hadapan.